Thursday, 15 March 2018

APA HUKUM RAWATAN JARAK JAUH?




Ada beberapa bentuk perubatan jarak jauh. Kami akan bahagiakan kepada 3 kategori supaya mudah difahami.

KATEGORI 1 :

Rawatan jarak jauh dengan menggunakan medium doa semata-mata.  Contohnya seseorang itu mendokan kesembuhan terhadap pesakit. Hal ini diharuskan syarak.

Kaedah ini dipraktikkan bersandarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Tidak ada seorang hamba Muslim yang mendoakan kebaikan kepada saudaranya dibelakangnya (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan terdapatnya Malaikat yang akan berkata: Bagi engkau kebaikan yang engkau doakan untuknya”

(Hadith riwayat Muslim, Kitab al-Dhikr wa al-Du‘a’ wa al-Tawbah wa al-Istighfar).

Namun kami berpendapat adalah tidak wajar menawarkan perkhidmatan berbayar untuk mendoakan kesembuhan terhadap orang sakit dari jarak jauh. Kami melihat doa seperti ini tidaklah sama seperti kaedah rawatan khusus yang memerlukan kudrat tenaga dan juga masa. Jika seseorang sakit dan meminta kita merawatnya dari jauh, katakan kepadanya, "Saya tidak mampu merawatmu dari jarak jauh.Tapi Insyaallah saya akan mendoakan kamu dari jauh." Sesudah itu berdoalah kepada Allah seperti biasa kepada pesakit. Samada hendak berdoa didalam hati sahaja, melafaskan di mulut sambil mengangkat tangan ke atas, ataupun melakukan solat sunat hajat untuk kesihatan dan kesembuhan pesakit.

Pendirian kami, bagi elakkan fitnah sebaiknya tidak perlu istilahkan kaedah ini sebagai suatu bentuk kaedah rawatan jarak jauh. Dibimbangi boleh menimbulkan salah faham dari kalangan orang awam. Istilah yang lebih tepat digunakan adalah mendoakan pesakit dari jauh. Dan ia bukanlah suatu bentuk tawaran khidmat rawatan. Jika ada pesakit meminta kita doakan kesembuhannya maka kita lakukanlah kerana Allah. Tidak perlulah menawarkan atau mengiklankan khidmat doa jarak jauh kepada orang ramai. Kerana hal ini bakal mengundang persepsi yang tidak baik kepada umum.

KATEGORI 2 :

Perkembangan zaman telah mendedahkan kita dengan pelbagai bentuk kemajuan sains dan teknologi. Contohnya bilal azan menggunakan pembesar suara, kuliah agama secara lansung mampu ditonton hanya melalui Youtube, memperdengarkan alunan bacaan ayat suci al-Quran di Youtube atau mp3, dan seumpanya.

Atas sebab darurat, atau tiada pilihan, sesetengah perawat mengambil kesempatan atas kelebihan teknologi yang ada. Pesakit yang kerasukan, atau mengalami penderitaan sakit disebabkan gangguan dibacakan ayat-ayat suci al-Quran oleh sebahagian perawat melalui panggilan telefon, webcam, ataupun video call. 

Secara peribadi kami tidak melihat hal ini mampu mendatangkan kepada syirik. Kerana perawat hanya menggunakan kelebihan teknologi untuk dimanfaat dengan mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran secara lansung terhadap pesakit. Pesakit gangguan jin yang mendengar biasanya akan memberikan riaksi terhadap bacaan ayat suci al-Quran yang dibacakan. Hal ini sama seperti kejadian pesakit mendengar dengan khusyuk mp3 bacaan ruqyah lalu rasa mual, sendawa dan juga kesakitan.

Namun kami berpendapat kaedah rawatan yang terbaik, dan dapat hindarkan dari fitnah dan salah sangka adalah melalui kaedah rawatan secara berhadapan dengan pesakit. Pesakit perlu berada di hadapan perawat untuk diruqyah. Samada seperti yang dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w dan juga para sahabat dalam meruqyah pesakit. Inilah sebaik-baik kaedah rawatan yang mencontohi nabi dan para sahabat.

Bahkan kami dapati rawatan menggunakan kaedah bacaan ayat suci al-Quran melalui video call, webcam, ataupun panggilan telefon tidak cukup kuat memberi kesan terhadap pesakit. Mungkin ada sedikit tindak balas dan juga kesan kelegaan oleh kerana pesakit dialunkan dengan lafas bacaan ayat suci al-Quran oleh perawat. Namun kadar keberkesanannya tidak setanding seperti rawatan secara berhadapan dengan perawat. Kerana apabila berhadapan perawat boleh menghembuskan bacaan yang dibaca pada anggota badan pesakit, selain boleh memegang anggota badan pesakit semasa membacakan ayat suci al-Quran dan juga doa.

KATEGORI 3 :

Rawatan jarak jauh yang menggunakan elemen tenaga batin atau tenaga dalaman. Ada juga yang menggunakan istilah tenaga gelombang, tenaga aura, dan pelbagai lagi. Kami sangat tidak bersetuju dengan semua kaedah ini walaupun sesetengah perawat kaedah ini menggunakan laras bahasa yang lebih positif, segar dan kelihatan seperti bahasa sains. Hakikatnya kesemua kaedah ini berpotensi mengundang kepada talbis iblis, yakni tipu daya syaitan terhadap naluri,hati dan akal fikiran perawat. Bahkan kaedah ini mirip pula kepada amalan perbomohan syirik.

Selain itu rawatan jarak jauh yang popular adalah yang sering dilakukan oleh bomoh syirik. Iaitu melalui penggunaan khadam ataupun makhluk halus. Mereka meminta bantuan makhluk halus untuk menjadi perantara didalam proses rawatan jarak jauh ini. Kaedah ini sangat jelas haram dan bertentangan dengan Islam.

Ada juga kaedah yang menggunakan gambar, nama pesakit, nama ibu dan sebagainya. Asal sesuatu perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikan ianya adalah haram. Unsur-unsur syirik yang kami maksudkan adalah yang melibatkan pemujaan, ataupun penggunakan jin di dalam rawatan. Contohnya jin digunakan untuk membantu mengenalpasti masalah pesakit hanya melalui medium gambar, nama pesakit, nama ibu dan sebagainya.Dan hukumnya boleh jatuh haram apabila perawat dapat mengetahui masalah pesakit hanya dengan menggunakan gambar atau nama pesakit dan ibu pesakit. Ini kerana perbuatan tersebut termasuk dalam amalan tukang tilik.

Namun persoalannya apabila wujud amalan rawatan yang memerlukan gambar pesakit, nama penuh pesakit dan ibu pesakit, sejauh manakah pesakit dapat mengenal pasti kaedah yang dilakukan tidak menggunakan unsur-unsur syirik dan bantuan jin? Sejauh mana pula pesakit tahu tujuan apakah gambar dan nama ini diperlukan? Apatah lagi amalan seperti ini sangat subur didalam amalan perbomohan syirik. Oleh sebab demikian maka berlepas dirilah dari kaedah-kaedah yang menimbukan tanda tanya seperti ini. Itulah sebaik-baik jalan penyelesaian.

KESIMPULAN :

Carilah kaedah rawatan yang jelas, saheh, dan menyakinkan. Iaitu pesakit  perlu berhadapan dengan perawat sebagaimana contoh yang berlaku di zaman nabi dan para sahabat. Serta kaedahnya tidak lebih hanya sekadar perawat membaca ayat-ayat suci al-Quran dan juga doa-doa kesembuhan sahaja. Inilah sebaik-baik kaedah yang mencontohi nabi dan para sahabat. Semestinya kaedah-kaedah yang aneh dan selain dari kaedah ini, maka akan membuka ruang perselisihan dan perdebatan yang sangat besar. Bahkan mampu mewujudkan seribu satu macam kemungkinan dan tanda tanya selain meragukan.

Majoriti perawat termasuk bomoh akan menafikan mereka melakukan rawatan menggunakan khidmat jin dan syaitan. Bahkan hampir mustahil pesakit mampu menentukan siapakah yang menggunakan khidmat jin dan siapa pula yang hanya bertawakkal kepada Allah didalam rawatannya. Oleh sebab itu sebaik-baik jalan adalah cermat dan berhati-hati didalam memilih perawat. Pilihlah perawat yang mencontohi kaedah rawatan yang dilakukan oleh nabi dan para sahabat, serta berlepas dirilah dari segala bentuk kaedah yang aneh dan mendatangkan keraguan kepada diri. Mudah-mudah dengan sikap berhati-hati kita ini maka Allah akan menghindarkan kita dari bertemu dengan tukang bomoh yang melakukan syirik kepada Allah. 

PERHATIAN : Sebarang perkongsian di blog ini dibenarkan disalin sepenuhnya dan disiarkan di mana-mana media(copy-paste) untuk tujuan dakwah. Tidak dibenarkan ubah suai sebarang artikel dari blog ini. Kebenaran ini dengan syarat WAJIB nyatakan sumber ambilan adalah dari blog https://rawatanislampulaupinang.blogspot.my Sebarang salinan tanpa menyatakan sumber yang diambil adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Like page fb kami. Klik page fb kami Rawatan Islam Pulau Pinang
Whatsapp untuk rawatan : 011-10145363


No comments:

Post a Comment

BENARKAH AIR KOLAH MASJID MAMPU RAWAT SAKIT GANGGUAN JIN?

Ramai yang bertanya kami berkenaan persoalan benarkah air kolah masjid mampu dijadikan mandian untuk merawat masalah gangguan jin ataupun ...