Tuesday, 13 March 2018

BOLEHKAH BELAJAR ILMU RAWATAN DARI MIMPI?



Sumber rujukan       : Menjawab Persoalan Makhluk Halus (m/s : 153)
Penulis : Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din
Disalin semula oleh : Perawat page Rawatan Islam Pulau Pinang.

SOALAN :

Saya pernah bermimpi bertemu dengan seorang alim, berjubah, berserban, bertasbigh, mukanya bersih bercahaya serta berbau wangi bila mendampinginya. Orang alim tersebut mengajar saya ilmu hikmah, termasuk cara mengubati orang sakit dengan syarat-syarat berikut :

i)   Berpuasa sunat selama 14 hari berturut-turut.
ii)  Solat tahajud pada malam-malam hari yang saya berpuasa tanpa boleh berhenti atau berselang selama 14 malam berturut-turut.
iii) Menjamu 40 orang anak yatim.
iv) Menyembelih seekor kambing untuk dijamu kepada jiran tetangga.
v)  Berzikir selama seminggu tanpa henti siang dan malam. Selepas itu saya boleh mengubati orang.

Apakah pandangan Ustaz tentang perkara ini? Bolehkah saya menerima dan mengubati orang sakit dengan amalan-amalan ini?

JAWAPAN :

Mimpi adalah permainan tidur. Kebanyakan mimpi berlaku hasil daripada khalayan, imiginasi manusia tentang sesuatu hal dan gambaran yang amat diingini atau ditakutinya. Mimpi juga biasanya mainan syaitan yang ingin menyesatkan manusia melalui mimpi. Sesuatu yang berlaku dalam mimpi itu jarang sekali menggambarkan yang sah ataupun yang sebenar.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : " Tidak tinggal daripada nubuwwah(kenabian) melainkan mimpi-mimpi yang benar( al-Ru'ya al-Sadiqah)."

Mimpi-mimpi yang benar ini amat jarang berlaku. Kadangkala dilihat sebagai benar, namun apabila diteliti ia tidak benar sama sekali.

Mimpi manusia biasa tidak serupa dengan mimpi Anbia dan al-Mursalin. Mimpi para Anbia dan al-Mursalin adalah benar sedangkan mimpi manusia biasa lebih banyak terdedah kepada pelbagai penipuan Iblis.

Merujuk kepada mimpi yang saudara sebutkan, pada zahirnya ia suatu yang wajar diikuti kerana mimpi itu merujuk kepada meminta agar saudara melakukan semua perkara yang disyariatkan.

Tetapi persolannya adakah saudara tidak pernah mendengar tentang perkara yang dianjurkan dan digalakkan oleh syarak itu?

Jika pernah, mengapa apabila disuruh oleh orang alim dalam mimpi tersebut itu baru saudara ingin melakukannnya? Siapakah yang saudara temui dalam mimpi itu, adakah dia insan sebenar atau syaitan yang menyerupai orang yang anda kagumi itu?

Oleh yang demikian, ada dua kemungkinan sama ada arahan dalam mimpi itu benar daripada orang yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT atau berkemungkinan hanya lakonan Iblis. Saya menasihati saudara jangan mengambil risiko kerana mentaati mimpi amat terdedah kepada risiko begitu besar, iaitu melakukah ibadah bukan kerana Allah SWT tetapi kerana syaitan.

Sekiranya ditakdirkan orang yang ada mimpi itu suatu penjelmaan makhluk halus atau qarin atau apa sahaja namanya yang sengaja hendak mempengaruhi saudara melakukan ibadah bukan kerana Allah SWT, tetapi kerana mimpi dan melakukannya kerana hendak menjadi seorang perawat hebat, untuk keduniaan semata-mata, saudara telah melakukan syirik kepada Allah.

Seandainya saudara mempunyai minat begitu mendalam untuk melakukan kerja-kerja kebaikan, lakukanlah kerana Allah SWT, sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran, al-Sunnah,al-Ijma' dan pelbagai sumber hukum lain yang menyeru kita melakukan ibadah yang disebutkan tadi dan bukannya kerana mimpi.

Berkenaan ilmu pengetahuan, secara umumnya Islam meletakkan  saluran yang tertentu untuk menyebarkan ilmu. Firman Allah didalam surah an-Nahl ayat 43 :

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"Kami tidak mengutus Rasul sebelum mu wahai Muhammad, melainkan daripada kalangan orang lelaki yang kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kepada orang-orang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui."


Istilah yang digunakan dalam ayat ini adalah ahl al-Dhikr, iaitu orang yang dapat mengingatkan kamu kepada Allah SWT. Siapa lagi kalau bukan ulama yang muktabar. Salah satu daripada tuntutan syarak ialah kita mengambil ilmu daripada ulama muktabar.

Dalam konteks ini, sudah ramai ulama dalam masyarakat yang boleh membantu saudara melakukan ibadah. Jika saudara memerlukan kepada orang yang boleh mendampingi dan menunjuk ajar ilmu perubatan sama ada perubatan alopati atau berasaskan doa dan ayat-ayat al-Quran, saudara boleh mendapatkannya dengan mudah. Jangan mengambil ilmu dari mimpi yang saudara sendiri tidak pasti siapakah yang saudara temui dalam mimpi tersebut. Wallahua'lam.

PERHATIAN : Sebarang perkongsian di blog ini dibenarkan disalin sepenuhnya dan disiarkan di mana-mana media(copy-paste) untuk tujuan dakwah. Tidak dibenarkan ubah suai sebarang artikel dari blog ini. Kebenaran ini dengan syarat WAJIB nyatakan sumber ambilan adalah dari blog https://rawatanislampulaupinang.blogspot.my Sebarang salinan tanpa menyatakan sumber yang diambil adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Like page fb kami. Klik disini
Whatsapp untuk rawatan : 011-10145363



No comments:

Post a Comment

BENARKAH AIR KOLAH MASJID MAMPU RAWAT SAKIT GANGGUAN JIN?

Ramai yang bertanya kami berkenaan persoalan benarkah air kolah masjid mampu dijadikan mandian untuk merawat masalah gangguan jin ataupun ...